Mencuci dengan air apa? Berita Harian 24.02.2007
SATU daripada bahan penting dalam proses cucian kenderaan adalah air. Ramai yang mengambil remeh perkara ini. Sekadar menambahkan pengetahuan, air biasa yang disalurkan dirumah atau di mana saja kadangkala mengandungi bahan klorin yang tinggi.
Kandungan klorin ini sememangnya tidak membahayakan, namun ia dikhuatiri akan memberikan tindak balas akibat penggunaan bahan kimia dari syampu dan sabun pencuci kenderaan. Ini secara tidak langsung akan memberikan kesan terhadap cat kenderaan! Selain itu, bahan mineral dalam tanah juga mempunyai implikasi tertentu. Bahan-bahan mineral seperti ini akan menyebabkan 'kesan air' terbentuk pada badan kenderaan, terutama pada bahagian cerminnya.
Bagi mengelakkan perkara ini, ada eloknya jika penggunaan penapis air dipertimbangkan. Jika rumah anda sudah dipasangkan dengan alat ini, hal berkaitan kesan air tidak perlu dirisaukan lagi. Penapis ini juga terdapat dalam kelas yang berbeza-beza. Premis cucian profesional biasanya akan dilengkapi dengan sistem penapisan industri - satu teknologi penapisan air yang berkesan! Terdapat tiga tahap tapisan, pertama tapisan dari selut, kedua pasir serta ketiga dari mineral. Proses ini akan mencapai tahap akhir air yang terhasil adalah air suling.
Air suling dengan sifatnya sebagai fasa neutral air amat sesuai untuk cucian kenderaan. Penggunaan bahan kimia untuk syampu pun tidak perlu ragu-ragu, jika produk itu benar-benar diyakini!
|